Aku ingin meminta pendapat anda semua yang sudi membaca blog aku ni. Ini adalah antara manuskrip aku, yang tersimpan dalam pc aku sejak tahun 2005. Agak tertangguh kerana merasakan tidak ada penerbit yang mahu terbitkan cerita begini

. Tapi aku sudah lama berhajat untuk buat cerita mistik begini sebab itulah sekarang aku masih berdikit-dikit menaip manuskrip ni. Sebenarnya, ada hantar kat dua penerbit tetapi penerbit yang pertama tidak lagi menerbitkan cerita begini manakala penerbit lagi satu tidak penerbitkan cerita mistik melibatkan alam ghaib atau tahyul. Apa pendapat korang selepas baca? Perlukah aku sambung atau kuburkan sahaja cerita ini

? Akan aku usahakan bagi siap. Terima kasih i
n advanced untuk pendapat kalian
___________________________________________________
PROLOG 1900 - PANTAI BAGEDUR, DAERAH KECAMATAN MALINGPING, BANTEN SELATAN…
Dalam kesuraman malam, gelombang laut kelihatan menerjang, bergulung-gulung ke arah pantai dengan ganas dan dahsyat. Kelihatan seorang lelaki berdiri tenang dengan tangan bersilang di belakang pinggang. Membiarkan air laut membasahi kakinya.
Dari arah gelombang laut, kelihatan sinar kemerahan meluncur laju sebelum terhenti, kemudian berputar-putar di atas kepala lelaki tersebut. Tidak semena-mena, ia bertukar menjadi sebilah keris berwarna tembaga putih berkilau dan menjunam ke bawah. Seakan mahu menusuk kepala lelaki itu. Namun, tangannya pantas menepis. Keris itu lesap sebelum sempat ia menjejaki pasir pantai.
Sekonyong-konyong, terdengar gelak tawa kasar. Gelombang laut tiba-tiba bertukar menjadi tenang. Dari arah laut, muncul kelibat lelaki berambut panjang, bertubuh besar dan sasa. Berpakaian serba hitam dengan kain merah melilit di kepalanya. Wajahnya berbelang hitam. Lagaknya seperti pahlawan terbilang.
“Alamgir! Sampai ke sini kau menjejaki aku?!”
Suara garang dan kasar milik lelaki itu berkumandang. Matanya yang kemerahan merenung tajam lelaki yang dipanggil sebagai Alamgir. Renungan bersepuh dendam.
“Selama enggang mengeram, selama betik berbuah… Aku turuti langkahmu, Daasim!” Alamgir menjawab tegas, tetapi masih lagi tenang.
“Jangan cuba-cuba mencari nahas dengan aku! Geruh kau nanti!” Lelaki bergelar Daasim itu menyuarakan amaran.
“Aku hanya berserah kepada ALLAH. DIA pemilik sarwa alam,” jawab Alamgir tenang.
Jawapannya sudah pasti memuncakkan kemarahan Daasim. Dia enggan bertolak ansur lagi. Alamgir harus dihapuskan. Daasim menghentakkan kaki ke tanah dan mula mendepangkan tangan ke atas. Daasim mula menyeru.
“Hai angin empat penjuru Alam,
Turunlah raja segala angin,
Yang bernama Selatan Tok Panji,
Yang meruntuhkan gunung,
Yang mengeringkan laut!”
Ketika itu juga tidak semena-mena angin berpusar kuat di depan Alamgir. Angin yang terjadi hasil sihir yang digunakan Daasim untuk menumbangkan Alamgir. Daasim tersenyum sinis bila melihat Alamgir masih lagi dapat bertahan. Pusaran angin itu hilang secara tiba-tiba.
Daasim kemudiannya mula mencangkung. Dua tangannya ditahan ke pasir. Dia seolah-olah sedang meneran. Sekejap kemudian, kepalanya terdongak ke atas.
Mukanya mula memuncung ke depan.
Hujung jarinya mula merekah - terbit kuku panjang.
Bulu-bulu kasar mula tumbuh di serata tubuhnya.
Sedikit demi sedikit, wajah Daasim mula berubah. Menjadi kepala harimau!
Namun Alamgir hanya tenang menyaksikan cetusan tiwikrama Daasim. Dia sudah bersedia menghadapi jelmaan syaitan itu. Apa yang harus dilakukannya ialah berserah kepada kekuasaan ALLAH untuk menghadapi tentangan Daasim yang berkiblatkan iblis dan bertuhankan syaitan.
Api kemerahan mula terpancar dari tangan Daasim. Dia menyeringai garang. Alamgir dilihatnya sebagai musuh yang perlu dihapuskan agar kedudukannya sebagai Penghulu Kegelapan tidak tergugat lagi. Daasim mengangkat tangannya. Api kemerahan itu mula membentuk bebola sinar yang terang dan besar.
Alamgir bertawakkal dan mula bersedia. “Wa-bihi nasta’inu bi’llahi… Berkat daulat bersidi sakti!”
Alamgir mula berdoa menghimpun segala kekuatan dari alam semesta dengan izin ALLAH s.w.t. Beberapa saat kemudian, seluruh tubuhnya mula bersinar. Lama-kelamaan semakin terang sampai amat menyilaukan mata sehingga tubuhnya tenggelam dalam sinaran tersebut. Dua cahaya penuh kuasa bertembung di udara. Menghasilkan dentuman yang kuat seperti guruh bergempita. Cahayanya menebar ke serata alam. Sejurus kemudian, suasana kembali jadi gelap. Sunyi dan sepi.
Alamgir dan Daasim ghaib begitu sahaja…
1
1998 – AIR TERJUN TUJUH TINGKAT, KENONG RIMBA NATIONAL PARK (Barat Daya Taman Negara) …
MATAHARI telah condong ke barat menandakan masuknya waktu zuhur. Arsalan berhenti dari meracik kayu. Mengilas pandangan pada rakan-rakannya yang galak bermandi-manda di dalam air terjun yang sejuk dan jernih. Bagaikan tidak ingat lagi untuk naik ke daratan.
Ayuni, Diyana dan Iffah sedang memasak untuk makan tengahari mereka. Masakan yang sebenarnya simple sahaja – sardin dan telur dadar. Tetapi sibuknya mereka bagaikan hendak berkenduri.
“Solat oii!” Arsalan mengingatkan tatkala mahu mengambil wuduk di gigi air. Rakan-rakannya sekadar tersengih. Namun untuk keluar dari dalam air, jauh sekali.
Arsalan sekadar menggelengkan kepala melihat gelagat teman-temannya itu. Tatkala membentangkan tikar ke atas tanah, hati Arsalan tiba-tiba diburu debaran. Perasaan tidak enak bagai menjentik-jentik hatinya. Dia mendongak memandang langit. Cerah. Persekitaran pula redup akibat teduhan daun pokok-pokok yang menjulang tinggi. Kemudian matanya melingas memerhatikan sekeliling. Seolah-olah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Namun Arsalan segera menetapkan hati agar dapat menumpukan perhatian pada solat.
Selesai menunaikan fardhu zuhur, Arsalan terdiam seketika di atas tikar. Matanya meliar lagi. Debaran semakin kencang menghantuk dadanya. Telinganya tidak lagi mendengar kicauan burung. Hatta suara cengkerik tidak lagi kedengaran. Suasana sekitar menjadi begitu sepi. Yang kedengaran hanyalah suara riuh rendah rakan-rakannya di dalam air.
Benar, gerak-geri mereka sedang diperhatikan oleh sesuatu dari balik rimbunan daun dan semak-samun di sekeliling mereka. Sesuatu yang berkumpulan.
Memerhati - bersedia untuk memulakan serangan.
Menghidu - darah manis dari tubuh muda remaja-remaja itu sudah lama dinanti.
Mereka sudah lama ‘menahan kelaparan’.
Darah manis teruna dan dara itu nanti akan jadi sumber kekuatan mereka.
Ayuni bangun berjalan menuju ke khemah untuk mengambil majalah yang dibawanya. Tidak sedar ada bahaya sedang menantinya. Dia menyusup masuk ke dalam khemah, menyelongkar beg galasnya.
Zripp!! Kain khemah kelihatan terkoyak tiba-tiba.
Ayuni tersentap. Terkelip-kelip matanya memandang kain khemah yang sudah terbelah. Kelihatan satu tangan berbulu dan berkuku panjang, terjulur masuk. Mata Ayuni terbeliak dengan mulut ternganga luas apabila melihat apa yang muncul di depannya.
“Aeeeeeee!!!!” Jeritan nyaring Ayuni menggegarkan kawasan hutan.
Diyana dan Iffah terperanjat. Arsalan berdiri dengan wajah cemas. Rakan-rakan lain bergegas naik ke daratan. Namun mereka tergamam melihat khemah Ayuni sedang bergoncang kuat.
Tidak mahu menunggu lama lagi, Arsalan, Damien dan Hariz menerpa sebagai wakil lelaki berani. Tinggal Saiful dan Rafiq menemani Diyana dan Iffah yang sudah menggigil ketakutan. Khemah sudah roboh. Tetapi Ayuni masih di dalam. Kelihatannya seperti Ayuni sedang bergelut dengan sesuatu. Arsalan bertindak pantas merentap kain khemah.
Dan… mereka terpelangah!
Ayuni kelihatan sedang bergelut dengan satu makhluk berkepala anjing bertubuh manusia! Darah Ayuni memercik di sana-sini.
“Arghhhhhh!!” Jeritan lain pula berkumandang.
Mereka berpaling. Seekor lagi makhluk serupa sudah menerjah ke atas tubuh Diyana yang rebah ke tanah. Kemudian seekor lagi menerkam Iffah.
“Makhluk apa ini?!” Saiful memekik ketakutan.
Dia menggelupur di atas tanah, cuba menjauhkan diri dari makhluk-makhluk aneh itu yang sedang rakus menyiat daging Diyana dan Iffah dengan taring dan kuku mereka yang tajam. Rafiq juga sudah pucat lesi. Bagai tidak berdarah wajahnya menyaksikan kejadian ngeri di depan mata.
Arsalan menggigil menyaksikan semuanya. Bukan kerana takut. Tetapi perasaan marah dan geram bergabung dalam hatinya. Menghasilkan gelombang tenaga yang luarbiasa dalam dirinya. Parang yang terdampar di atas tanah, segera digapainya. Dia pantas melompat bersama parang terhunus di tangan. Meluru dengan beraninya ke arah makhluk aneh itu.
“Setannn!!” Arsalan menakik belakang makhluk itu yang sedang merobek rakus tubuh Diyana.
Ngauman kasar berkumandang di udara. Makhluk itu tercedera tetapi masih sempat melepaskan tamparan ke tubuh Arsalan. Dia tercampak ke sisi. Namun Arsalan bingkas bangun. Sia-sialah ilmu silatnya jika dia menyerah kalah terlalu awal. Dia bukan lelaki penakut. Tidak kiralah makhluk apa yang sedang dihadapinya ini, dia akan terus menentang!
Makhluk-makhluk itu semakin mengganas. Tiga gadis sudah putus nyawa sekelipan mata. Tinggal lagi lima remaja lelaki untuk jadi habuan. Mereka sedang cuba mempertahankan diri masing-masing.
Ketika salah seekor makhluk itu cuba membaham Hariz, Arsalan mengambil tindakan berani, melompat ke belakang tubuh makhluk itu dan menetak kepalanya berkali-kali. Darah hitam bersembur ke udara. Makhluk itu melolong kesakitan.
Tetapi satu libasan kuat dari arah belakang menyebabkan Arsalan jatuh berguling-guling. Ketika tubuhnya menelentang, seekor daripada makhluk itu sudah bersedia menekan dada Arsalan. Satu libasan lagi hinggap di perut Arsalan. Koyak kulitnya! Arsalan meraung kesakitan sekuat hati. Lantang raungannya bergema ke segenap ruang hutan.
Tiba-tiba makhluk itu terpelanting. Terdengar laungan-laungan kalimah kebesaran ALLAH berkumandang di udara…
ARSALAN menggigil di perdu pokok. Dalam kesakitan, dia merasakan kesejukan yang amat sangat. Dalam kekaburan pandangan, dia melihat ada cahaya terang bergerak menghampirinya. Ada bau wangi mengiringi. Harum semerbak bak bau setanggi. Arsalan tidak berdaya langsung untuk bangun. Tangannya menggeletar menekup luka di perutnya. Darah mengalir seakan tidak mahu berhenti lagi. Dalam pandangan berpinar-pinar, Arsalan lihat ada beberapa orang lelaki mengelilinginya. Semuanya bertubuh besar dan tinggi belaka. Mereka berambut panjang paras bahu dan berpakaian seperti pahlawan tetapi serba hijau.
“Apa yang harus kita lakukan pada budak ni?”
“Lukanya parah benar! Dia pasti mati sebentar nanti.”
“Kita bawa dia pulang!”
“Tunggu! Nanti apa kata Guru? Dia ini manusia! Mana boleh kita bawa dia pulang!”
Arsalan terpinga-pinga dalam kesakitan. Kalau aku manusia, kalian apa pula? Hantu? Atau jembalang hutan?
“Tapi kita tidak boleh biarkan dia di sini sahaja!”
“Ya, lebih baik kita bawa dia pulang dulu. Kemudian, terserah pada Guru!”
Telinga Arsalan hanya mendengar butir perbicaraan mereka. Dia tidak berdaya untuk bersuara. Kesakitan yang dialami telah meragut upayanya untuk bercakap. Mungkin juga akan meragut nyawanya sebentar lagi. Hanya tangannya sahaja mampu memaut tangan salah seorang daripada mereka. Saat itu Arsalan tersenyum kelegaan dalam kesakitan. Mereka juga manusia kerana aku boleh pegang mereka!
“Lekaslah, kita tidak boleh tunggu lagi. Budak ini tidak mungkin dapat bertahan lama.”
Arsalan senyum lemah. Kemudian terasa tangan-tangan mereka membalut luka di perutnya. Sekejap kemudian, Arsalan merasakan tubuhnya diangkat dan diusung beramai-ramai.
SUARA mengerang tertahan-tahan mengganggu pendengaran Alamgir yang sedang bertafakur di hujung pelantar. Dia membuka mata perlahan-lahan. Kelihatan lima orang anak didiknya sedang mengusung seorang remaja lelaki lingkungan usia 16 tahun. Badannya berlumuran darah. Menitis laju jatuh ke tanah. Alamgir membiarkan sahaja anak-anak didiknya membaringkan remaja belasan tahun itu di atas lantai pelantar. Betul-betul di hadapan Alamgir. Remaja itu kelihatan luka parah. Alamgir segera membuka perlahan-lahan balutan kain yang lencun dengan darah pada perut remaja itu. Lukanya ternganga!
“Bagaimana dia mendapat luka sebegini teruk?” Alamgir bertanya bersama kerutan di dahi. Agak terkejut melihat luka yang besar itu.
“Dia menentang kumpulan jadi-jadian buruan kami,” terang Fahad, ketua yang mengiringi kumpulan lelaki yang mengusung tubuh remaja itu.
“Dia seorang?” Alamgir bertanya lagi. Penuh minat. Memandang satu per satu wajah anak didiknya.
“Dengan kawan-kawannya. Mereka berkhemah di tepi air terjun. Tapi kawan-kawannya sudah mati dibaham makhluk-makhluk itu!” Akid, yang paling muda, menyambung cerita.
“Begitu berani dia menentang makhluk jadian itu! Kami semua tidak pernah melihat manusia seberani dia! Malah kami terkejut melihat dia masih bernyawa walaupun sudah luka parah begini. Oleh sebab itu kami sepakat membawa dia pulang ke sini.” Sirhan menyampuk. Jahran dan Askari hanya mengangguk mengiyakan cerita.
“Terpulang kepada Guru samada mahu menyelamatkan dia atau tidak.” Fahad teragak-agak bersuara namun nadanya terkandung harapan.
Alamgir terdiam. Dia meneliti luka besar yang ternganga di perut remaja yang tidak berbaju itu. Bukan calang orang dapat menahan kesakitan begini. Apatah lagi, darah mengalir tidak henti-henti. Mata Alamgir tajam merenungi seluruh tubuh remaja itu. Dari pandangan matanya, dia mengakui walaupun tubuh remaja itu kurus tinggi, tetapi amat elok bentuknya. Tegap dan segak. Tulangnya keras diselaputi otot daging yang liat. Raut wajahnya pula menarik dipandang. Tubuhnya yang berkulit cerah sudah semakin pucat akibat kehilangan darah yang banyak tetapi nyawanya masih dikandung badan biarpun aturan nafasnya semakin pendek-pendek. Alamgir mula merasakan bahawa remaja yang parah ini sangat kuat daya tahannya.
“Jadi-jadian itu dapatkah kalian hapuskan?” Alamgir menyoal lagi. Masih belum memutuskan samada mahu menyelamatkan remaja itu atau tidak.
“Sudah kami hapuskan! Tidak terlepas walau satu pun!” Fahad memberitahu dengan tegas dan yakin.
Alamgir mengangguk-anggukkan kepalanya. Matanya kembali merenung mata remaja itu yang hampir layu. Peluh dan darahnya sudah bercampur. Likat mereneng. Wajahnya sayu memandang Alamgir, menghantar isyarat minta dirinya diselamatkan jika masih ada ruang. Alamgir terkesima. Dahinya berkerut-kerut bagaikan tidak percaya dengan apa yang dialaminya sebentar tadi. Remaja ini seakan berkomunikasi dengannya. Alamgir merenung dalam-dalam, tepat ke mata yang semakin layu itu.
‘Tolong selamatkan saya, pakcik…’
Mata Alamgir membulat. Sungguh dia tidak percaya! Lalu Alamgir tidak mahu menunggu barang sesaat lagi.
“Bawa dia masuk. Kita perlu selamatkan dia!” Alamgir mengarahkan.
Anak-anak didiknya mengangguk. Beramai-ramai mengusung tubuh remaja itu masuk ke dalam.